23 migran maut dalam kemalangan
New Delhi: Sekurang-kurangnya 23 pekerja migran terkorban manakala 35 lagi cedera, apabila kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di India utara, semalam.
Difahamkan, nahas berkenaan berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa yang dalam perjalanan pulang melanggar sebuah jentolak di lebuh raya, berhampiran sebuah kedai makan di daerah Auraiya, Uttar Pradesh.
Seorang pegawai di daerah berkenaan, Abhisek Singh Meena berkata, kesemua mangsa berasal dari Bihar, Jharkhand dan Benggala Barat.
Katanya, penduduk setempat adalah antara individu terawal tiba di lokasi kejadian dan menolong mangsa.
“Mereka yang cedera dikejarkan ke hospital dan ada di antara mereka berada dalam keadaan kritikal,” katanya.
Sebelum ini, puluhan ribu buruh di India pulang ke kampung halaman masing-masing selepas kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan perintah berkurung.
Kebanyakan mereka memulakan perjalanan dengan berjalan atau menaiki pengangkutan awam. Kerajaan India mengenakan perintah berkurung kepada 1.3 bilion rakyatnya selama hampir tujuh minggu dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, manakala ratusan juta rakyat terpaksa bergantung mengambil upah harian untuk meneruskan kehidupan.