Bahana tak tahan bau durian
Bavaria: Bau durian yang ‘terlampau menyengat’ menyebabkan 12 kakitangan sebuah pejabat pos di Schweinfurt, di sini terpaksa dikejarkan ke hospital, Sabtu lalu.
Bukan itu saja, berpuluh lagi kakitangan dikeluarkan dari premis berkenaan kerana tidak tahan dengan bau raja buah itu.
Portal CNN melaporkan, kejadian menyebabkan polis, bomba selain kakitangan perubatan dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kecemasan.
Segalanya bermula selepas seorang kakitangan pejabat pos berkenaan terhidu bau yang pelik dan kurang menyenangkan.
“Kakitangan itu tidak mengetahui terdapat satu bungkusan berisi buah berkenaan namun dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
“Keadaan ini menyebabkan premis itu terpaksa dikosongkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan untuk mengetahui kandungan bungkusan itu,” kata polis Schweinfurt.
Susulan daripada itu, 60 kakitangan diarahkan untuk mengosongkan bangunan bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan.
Penelitian lanjut akhirnya menemui jawapan apabila bungkusan itu mengandungi empat biji durian dari Thailand.
Bungkusan itu dihantar seorang penduduk daerah itu kepada rakannya di Nuremberg.
Polis berkata, 12 pekerja yang dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut kerana mengalami loya, manakala enam lagi masih dipantau doktor.
Selepas pemeriksaan selesai, kiriman raja buah itu dihantar kepada penerimanya.