Bawang putih ‘bercincin’
MAINE: Cincin tercicir daripada jari seorang remaja ketika bercucuk tanam, kembali selepas sembilan bulan dengan dibaluti gugusan bawang putih.
Madison Cooper, 12, berkata, dia kehilangan cincin itu ketika menanam pokok bawang putih di Chewonki Foundation di Wiscasset pada Oktober 2019.
Cincin itu hadiah neneknya, Leanita Perry yang memperolehnya daripada mendiang suami pada 2012.
“Ia hadiah Hari Kekasih daripada suami saya pada 2012. Dia (Cooper) sangat inginkan cincin itu kerana dia dan datuknya sangat rapat. Jadi saya beri kepadanya,” kata Perry.
Wanita itu mengakui sedih apabila dimaklumkan cincin itu hilang, tetapi dia tidak menyalahkan Madison.
Keluarga itu tidak menjangka menemui semula cincin itu dan ia muncul ketika Hannah Marshall iaitu pengajar di Chewonki Foundation Outdoor menuai bawang putih.
Marshall berkata, dia melihat sesuatu yang berkilat di bawah tanaman itu, tetapi langsung tidak menyangka ia cincin.