Beranak, rehat, jalan
NEW DELHI: Seorang wanita selamat melahirkan bayinya ketika berjalan meliputi jarak ratusan kilometer untuk pulang ke kampungnya di Madhya Pradesh.
Seperti ribuan pekerja migran lain di bandar besar di India, wanita terbabit terpaksa berjalan selepas operasi pengangkutan awam di negara itu digantung susulan perintah lockdown di negara itu.
Lebih menakjubkan, dia hanya berehat dua jam selepas melahirkan bayi itu sebelum meneruskan perjalanan sejauh 150 kilometer (km) lagi.
India Today melaporkan wanita itu dan suaminya mula berjalan dari Nashik di Maharashtra menuju ke rumah mereka di Satna, Madhya Pradesh.
Dia mula mengalami kesakitan untuk bersalin pada Selasa, sebelum melahirkan bayinya itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa di Satna yang mengetahui kejadian kemudian membantu dengan menyediakan pengangkutan kepada pasangan berkenaan.
“Keadaan ibu dan bayi baik-baik saja,” kata seorang pegawai perubatan di Satna, AK Ray.
Susulan perintah lockdown, ribuan pekerja migran di bandar besar di India tidak mempunyai pilihan selain berjalan kaki dan meredah perjalanan ratusan kilometer untuk pulang ke kampung.
Ia berikutan mereka tidak lagi mempunyai sumber pendapatan kerana kebanyakan perniagaan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang perintah berkenaan.
Kerajaan India melanjutkan perintah lockdown sehingga 18 Mei tetapi ia sudah memasuki fasa dengan beberapa kelonggaran diberikan untuk rakyatnya.