Boris Johnson tidak guna ventilator
London: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson tidak menggunakan ventilator sebaliknya hanya diberikan oksigen.
Menteri Kabinet Kanan, Michael Gove memberitahu radio LBC bahawa Johnson menerima bantuan oksigen di unit rawatan rapi (ICU).
“Bagaimanapun, beliau tidak menggunakan ventilator. Tetapi, ia (ventilator) ada di situ sekiranya diperlukan,” katanya.
Boris ditempatkan di ICU pada Isnin malam, selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.
Perdana menteri berusia 55 tahun itu dimasukkan ke Hospital St Thomas di London Ahad malam, 10 hari selepas diuji positif Covid-19.
“Sejak Ahad petang, perdana menteri berada di bawah penjagaan doktor di St Thomas Hospital, London.
“Sepanjang petang ini, keadaannya semakin teruk dan atas nasihat pasukan perubatannya, beliau dipindahkan ke unit rawatan rapi,” kata satu kenyataan.