Buang mayat isteri dalam parit
Paris: Seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat ditahan polis selepas membunuh isterinya selepas mereka bertengkar di rumah percutian mereka di Perancis.
Billy Kruger ditahan sejurus sebelum menaiki penerbangan untuk keluar dari negara itu dari lapangan terbang di Toulouse.
AFP melaporkan Kruger dan isterinya, Laure Bardina-Kruger, 52, lazimnya akan meluangkan beberapa minggu untuk bercuti di Perancis.
Kedua-duanya menetap di Jakarta di mana lelaki itu bertugas sebagai jurulatih selam skuba, manakala isterinya bekerja sebagai guru.
Selepas ditahan, Kruger mengakui menikam isterinya sebanyak dua kali dengan pisau.
Dia kemudian membuang mayat mangsa ke dalam parit di kawasan kampung di Peyricar-de-Mer.
Sebelum kejadian, ayah mangsa mengesyaki sesuatu yang pelik apabila pasangan itu tidak mengucapkan selamat tinggal sebelum berlepas pulang ke Jakarta.
Dia menghubungi pihak berkuasa sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita berkenaan.
Ia kemudian membawa kepada penahanan Kruger.
Lelaki itu kini ditahan sementara menantikan perbicaraan kes berkenaan.
Difahamkan, pasangan itu sudah berkahwin selama 26 tahun.