Covid-19: 116,854 kematian di AS

Washington: Angka korban Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) sudah melebihi jumlah askarnya yang maut ketika Perang Dunia Pertama.

Angka terbaharu pada Selasa menunjukkan 740 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian 116,854 orang.

Ia sekali gus menjadikan AS sebagai negara paling terjejas akibat pandemik berkenaan.

Sebelum ini, kematian akibat Covid-19 di negara itu, pada April, sudah mengatasi askarnya yang terkorban ketika Perang Vietnam.

Ketika banyak perniagaan kembali beroperasi, jumlah kes baharu di AS terus mencatatkan kira-kira 20,000 sehari.

Beberapa negeri juga menunjukkan angka tertinggi sejak meletusnya pandemik berkenaan.

Pentadbiran Presiden Donald Trump, yang giat menumpukan usaha untuk memulihkan ekonomi menegaskan bahawa sektor berkenaan tidak akan ditutup meskipun berlaku gelombang kedua penularan wabak berkenaan.

Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell pula memberi amaran bahawa ekonomi AS tidak akan benar-benar pulih selagi ada ketidaktentuan berhubung pandemik berkenaan.

Trump juga dikritik berhubung kempen pemilihan presiden di Tulsa, Oklahoma – pertama kali sejak Mac – yang dijadualkan diadakan di dalam arena tertutup yang berkapasiti 20,000 orang.

AS juga sudah bersetuju untuk menutup sempadannya dengan Mexico dan Kanada sehingga 21 Julai.

Ia lanjutan kali ketika sejak pandemik berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19