Covid-19: 49 kes baharu di China
Beijing: Pegawai Kesihatan China mengesahkan sebanyak 49 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan di negara berkenaan termasuk lebih 36 direkodkan di Beijing iaitu lokasi kluster terbaru yang mencetuskan kebimbangan mengenai adanya gelombang kedua.
AFP melaporkan, wabak yang tercetus pada hujung tahun lalu itu dilaporkan terkawal sebelum ini tetapi sebaliknya berlaku apabila terdapat kes terbaru dikesan di Beijing minggu lalu.
Berikutan penemuan itu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan mengesahkan terdapat tiga kes di wilayah Hubei yang terletak di sekitar Beijing.
Justeru, semua pekerja dan pengunjung di pasar borong daging Xinfadi dan penduduk berhampiran dikehendaki menjalani ujian saringan.
Jurucakap rasmi memaklumkan 10,000 saringan saringan sudah dilakukan dan bakal menjalankan ujian berkenaan terhadap 46,000 penduduk setempat.
Untuk rekod, terdapat 10 kes import dilaporkan dengan majoritinya ada kes membabitkan mereka yang baru pulang ke China dari luar negara.
Secara keseluruhan, seramai 177 dijangkiti wabak berkenaan dengan dua pesakit serius dan ia adalah jumlah tertinggi sejak awal Mei.
Manakala, 18 kes terbaru tidak bergejala dilaporkan dengan tujuh daripadanya adalah kes tempatan tetapi China tidak mengiranya sebagai kes sah.
Terdahulu, sebanyak 11 perumahan di selatan bandar raya itu dikenakan perintah berkurung berikutan kluster baharu Covid-19 membabitkan pasar borong daging Xinfadi. Malah, sembilan sekolah dan tadika di kawasan berdekatan turut ditutup serta-merta.
Pihak berkuasa Beijing mengambil keputusan untuk menangguhkan semula pembukaan murid sekolah rendah dan turut menangguhkan semua acara berkaitan sukan dan jamuan makan secara berkumpulan.