Covid-19: Angka kematian di Brazil lepasi 80,000
RIO DE JANEIRO: Angka kematian akibat Covid-19 di Brazil, pada Isnin, sudah melepasi 80,000 orang
Ia kekal menjadikannya negara kedua paling terjejas akibat pandemik berkenaan.
Setakat ini, ada 2.1 juta kes jangkitan disahkan di negara dengan populasi 212 juta orang itu.
Bagaimanapun, pakar berpendapat jumlah itu sebenarnya mungkin lebih tinggi.
Dalam pada itu, Presiden Brazil Jair Bolsonaro yang turut disahkan positif Covid-19 sebelum ini dikritik kerana tidak mahu mengikut arahan pihak berkuasa dan menggesa sektor ekonomi di negara dibuka semula,
Beliau kini menjalani kuarantin bersama dengan beberapa ahli Kabinetnya.
Bolsonaro, 65, sebelum ini juga menolak arahan pihak berkuasa untuk duduk di rumah atas alasan ia memberi kesan buruk kepada ekonomi.
Selain itu, beliau yang meminati Donald Trump dilaporkan membandingkan virus itu sebagai ‘selesama biasa’.
Sebelum disahkan positif, Bolsonaro tidak mahu memakai pelitup muka dan dilihat berjabat tangan dengan orang ramai serta menyertai perhimpunan awam.
Malah, beliau turut mengikut jejak langkah Trump yang mendakwa penggunaan ubat anti-malaria chloroquine dan hydroxychloroquine dapat mengelak seseorang daripada terkena virus itu.
Ia meskipun kekurangan bukti saintifik bagi menyokong dakwaan itu.