Covid-19 kembali selepas 100 hari

Hanoi: Selepas hampir 100 hari tiada kes positif Covid-19, Vietnam mengesan satu kes tempatan hari ini.

Vietnam sebelum ini dilihat berjaya menangani pandemik itu selepas melakukan proses kuarantin besar-besaran dan jejak kontak yang meluas bagi mengekang penularan Covid-19.

Kes ke 416 itu membabitkan pesara berusia 57 tahun di bandar selatan Danang dan ia adalah kes pertama sejak diisytiharkan bebas wabak itu, 16 April lalu.

Pegawai kesihatan sudah melakukan saringan terhadap 105 individu kontak rapatnya dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Lelaki itu didakwa membawa ibunya ke hospital sehari sebelum dia menunjukkan gejala penyakitnya.

Dia kini memerlukan sokongan ventilator kerana kegagalan pernafasan.

Menurut keluarganya, pergerakan lelaki itu sebelum ini terbatas dan tidak pergi ke mana-mana walaupun ke bandar.

“Dia hanya duduk di rumah dan menjaga cucunya selain berinteraksi dengan jiran sekeliling. Dia tidak ada berhubung dengan orang asing,” katanya.

Danang kini dikunjungi oleh pelancong tempatan berikutan pantai dan restoran sudah dibuka semula selepas perintah kawalan ditarik semula.