Covid-19: Singapura catat peningkatan harian tertinggi
Singapura: Singapura mencatatkan peningkatan 728 kes baharu Covid-19, setakat semalam.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, ia peningkatan harian tertinggi dengan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 4,427 kes dengan 10 kematian.
“Angka terbaharu itu kebanyakannya berkait rapat dengan pekerja asing yang menghuni asrama.
“Usaha saringan dan kuarantin ke atas pekerja yang terjejas sedang diteruskan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
Kenyataan itu menjelaskan, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 90 peratus (654 kes) datang dari asrama pekerja asing.
Manakala 26 kes lagi pekerja asing yang menetap di luar asrama.
Kira-kira 200,000 pekerja asing kebanyakannya dari Asia Selatan, tinggal di 43 asrama di republik itu terbabit dalam sektor penting.