Covid-19: Singapura tangguh ibadah haji

Singapura: Singapura menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji 2020 bagi 900 jemaahnya berikutan penularan pandemik Covid-19.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat dengan persetujuan Jawatankuasa Fatwa dan rundingan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Menurut MUIS, Jawatankuasa Fatwa sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan menyokong keputusan untuk menangguhkan ibadah haji untuk jemaah Singapura ke tahun berikutnya atas alasan kesihatan dan keselamatan jemaah.

“Jawatankuasa ini berpendapat bahawa dalam konteks semasa, tidak semua prasyarat untuk ibadah haji yang selamat dapat dipenuhi, kami mengesyorkan supaya jemaah Singapura menangguhkan rancangan untuk menunaikan ibadah itu bagi mengelak sebarang kemungkinan yang memudaratkan,” katanya.

MUIS berharap keputusan awal itu dapat membantu meredakan kebimbangan jemaah dan keluarga mereka mengenai rancangan ibadah itu tahun ini.

“Kami berkeyakinan penuh terhadap kerajaan Arab Saudi dalam pengurusan pandemik itu dan langkah yang sesuai akan diambil sekiranya haji diteruskan,” katanya.

MUIS memberitahu lebih 80 peratus daripada jemaah Singapura yang dijadualkan mengerjakan ibadah haji tahun ini berumur 50 tahun ke atas.

“Individu dalam kategori ini berhadapan dengan risiko komplikasi dan kematian lebih besar sekiranya dijangkiti virus Covid-19. Ibadah haji tahunan membabitkan perhimpunan kira-kira 2.5 juta orang dari seluruh dunia di kota Makkah.

“Ini adalah perhimpunan berskala besar membabitkan jemaah dari seluruh dunia. Seperti kes perjalanan ke luar negara, terdapat risiko buat jemaah Singapura yang ingin menunaikan ibadah haji dijangkiti virus itu,” katanya.