Covid-19: UNC terpaksa ubah mod pembelajaran

Washington: Sebuah universiti di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) mengubah mod pembelajaran kepada kelas maya sepenuhnya susulan lonjakan jangkitan Covid-19 terhadap penuntutnya, selepas seminggu kampus dibuka semula.

Langkah itu sejajar dengan keputusan universiti di beberapa negeri lain di negara itu yang memilih untuk mengadakan kelas hibrid (beberapa hari seminggu untuk pembelajaran kelas) termasuk Chicago, Houston, Los Angeles dan Washington.

Berdasarkan kenyataan Universiti North Carolina (UNC) di Chapel Hill, seramai 177 penuntut yang positif Covid-19 kini menjalani pengasingan, manakala 349 lagi menjalani kuarantin.

Kadar kes positif di kampus berkenaan meningkat kepada 13.6 peratus minggu lalu berbanding 2.8 peratus pada minggu sebelumnya.

“Meskipun kita sedaya upaya untuk memastikan situasi yang selamat dan sihat di kampus, kita percaya tidak berupaya melakukannya berdasarkan data terkini,” kata Canselor UNC Chapel Hill Kevin Guskiewicz dan Naib Canselornya, Robert Blouin dalam satu kenyataan.

Selepas UNC kembali dibuka, hanya 60 peratus daripada dorm dipenuhi penuntut dan 30 peratus pelajar menghadiri kelas secara bersemuka.

Bagaimanapun, pihak universiti mengumumkan bermula Rabu, semua penuntutnya akan mengikuti pembelajaran secara maya.

Daripada hampir 3,000 universiti dan institusi pengajian tinggi di AS, 30 peratus daripadanya memilih untuk mengadakan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya, manakala 15 peratus (model hibrid) dan 23 peratus lagi bergantung kepada pemilihan penuntut.

Antara 151 universiti yang mengadakan kelas sepenuhnya secara dalam talian termasuk Universiti Harvard dan Universiti Johns Hopkins di Baltimore.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19