‘Cummings boleh, kami pun boleh’
United Kingdom: Warga Britain memenuhi pantai dan taman sempena cuti umum pada Isnin untuk menikmati cuaca panas, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku pelanggaran sekatan pergerakan besar-besaran.
Mirror.co.uk melaporkan hanya segelintir penduduk sahaja yang dilihat patuh kepada peraturan penjarakan sosial di kawasan pantai di Brighton, Bournemouth dan Essex.
Ramalan cuaca di London menjangkakan kota itu akan lebih panas daripada Barcelona mahupun Athens menjelang tengah hari, manakala suhu pada 10 pagi Isnin dicatatkan 20C.
Ada penduduk yang bimbang musim panas ketika ini bakal menyebabkan pelanggaran sekatan yang dibuat untuk mengekang penularan wabak Covid-19, apatah lagi selepas pendedahan mengenai perjalanan 260 batu (418.4 kilometer) Dominic Cummings, iaitu penasihat kanan Perdana Menteri Boris Johnson.
Cummings dikatakan melanggar arahan sekatan pergerakan dengan memandu keluar dari London bersama isterinya untuk melawat ibu bapanya di Durham, sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk Britain.
Bagaimanapun, Johnson mempertahankan tindakan orang kanannya itu yang didakwa penduduk sebagai pilih kasih dan mendesak Cummings meletak jawatan.
Pengguna Twitter, Russel Martin menciap, “Jadi awak beritahu kami bahawa sekatan kini secara rasminya berakhir dan kami boleh melakukan apa sahaja kami suka? Kerana jika Dominic Cummings boleh melanggar peraturan tanpa dihukum, kami juga boleh.”
Dalam pada itu, pegawai keselamatan komuniti yang melakukan rondaan di pantai Essex, cuba menguatkuasakan langkah penjarakan sosial, namun dilihat sukar, manakala kenderaan padat di tempat letak kereta di pantai Kent dan Bournemouth di Dorset.
Pihak berkuasa di Hillingdon pula meminta penduduk supaya ‘sedar diri’ selepas melihat gambar orang ramai mengerumuni pantai Ruislip Lido.