Denggi di Singapura melepasi angka 10,000

Singapura: Jangkitan denggi di republik ini melepasi angka 10,000, peningkatan lebih berganda daripada 872 kes minggu lalu, menurut The Straits Times.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) menerusi kenyataan di laman web memaklumkan, “ia jumlah kes tertinggi dalam lima bulan pertama tahun ini sejak 2013, (dan) wabak terbesar pernah direkodkan setahun dalam sejarah Singapura, baru-baru ini.”

Pada 2013, 22,170 orang dijangkiti denggi dengan lapan kematian.

Namun, bagi tahun ini, 12 penduduk berusia antara 56 dan 80 tahun dilapor meninggal dunia kerana wabak itu.

Jumlah kematian tertinggi kerana denggi pada 2005 dengan 25 pesakit, manakala tahun lalu, 20 orang maut kerananya.

NEA memberi amaran cuaca panas dan lembab sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes, yang dijangka berterusan hingga Oktober.

Ketika ini terdapat 190 kluster aktif denggi dengan terbesar di kawasan Woodleigh di sepanjang Jalan Serangoon Atas.

Seramai 200 orang dijangkiti di kawasan itu termasuk 33 orang pada dua minggu lalu, menjadikannya satu daripada lima kluster terbesar dengan lebih 100 orang dijangkiti.

Agensi itu merancang membekalkan lebih 300,000 botol penghalau nyamuk untuk diedarkan kepada pesakit di hospital, menurut agensi berita Vietnam (VNA).