Fredie mungkin lelaki tertua dunia
Cape Town: Lelaki Afrika Selatan, Fredie Blom meraikan hari jadinya yang ke-116 pada Jumaat tanpa gangguan koronavirus iaitu lebih 100 tahun sejak wabak pandemik selesema 1918 (Selesema Sepanyol) yang meragut nyawa adiknya.
“Saya hidup selama ini kerana rahmat Tuhan,” kata Blom, berkemungkinan lelaki tertua di dunia.
Dia turut mengimbas pandemik 1918 yang menyebabkan jutaan orang meninggal dunia di serata dunia, termasuklah adik perempuannya.
Blom dilahirkan pada 1904 di pekan pedalaman Adelaide dekat pergunungan Great Winterberg di wilayah Cape Timur, Afrika Selatan, dikatakan lebih tua daripada penduduk Britain berusia 112 tahun yang dinamakan lelaki tertua oleh Guinness World Records pada Mac.
Bagaimanapun, umur Blom belum disahkan mana-mana badan.
Sambutan hari lahirnya dikelilingi cucu dan cicit yang berkumpul di halaman rumah, sebelum didatangi jiran, menyanyikan lagu selamat hari jadi.
Blom menghabiskan hayatnya dengan bekerja di ladang sekitar bandar ini. Dia bertemu isterinya, Jeanette, 86, ketika acara tarian dan memenangi hatinya menerusi gerakan ‘jive’.
Pasangan itu sudah berkahwin hampir 50 tahun dan berpindah ke Delft di sini, tiga dekad lalu.
Pada usianya lebih seabad, Blom berkata tidak mahu pandemik koronavirus mengganggunya hingga mendatangkan panik.
Malah, dia juga mengulas mengenai tindakan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, menyekat penjualan rokok di seluruh negara itu sebagai sebahagian langkah sekatan pergerakan.
“Dia (Ramaphosa) tidak tahu apa yang dia lakukan,” rungut Blom yang memberitahu rokok adalah satu-satunya hadiah hari jadi diinginkan tahun ini.
Warga emas itu berhenti mengunjungi doktor sejak dua tahun lalu, mendakwa dia bosan dicucuk dan disentuh.
Meskipun perkahwinannya tidak dikurniakan anak, dia memelihara dua anak Jeanette daripada perkahwinan terdahulu.
“Dia melakukan semuanya untuk kami. Malah dia akan bangun pada 3 atau 4 pagi untuk bersiap bekerja. Dia sangat sukakan haiwan dan berkebun,” kata anak Jeanette, Jasmien Toerien, 38.