Gadis OKU berbakti jahit penutup hidung, mulut
KEKURANGAN diri akibat kehilangan kaki kanan, tidak melunturkan semangat gadis kurang upaya (OKU) berbakti kepada masyarakat.
Sebaliknya, Nuri Wulandari, 18, menggunakan kemahiran menjahit penutup hidung dan mulut untuk diedarkan kepada masyarakat.
Lapor Kompas, anak pasangan Mulyono, 48, dan Mujiyanti, 50, itu meluangkan masa setiap hari menjahit alat perlindungan diri di rumahnya di Desa Seberida, Riau.
Usaha murni gadis itu disokong Polis Indragiri Hulu yang membantunya mengedarkan penutup hidung dan mulut itu kepada masyarakat setempat.
Ketua Polis Indragiri Hulu, Efrizal berkata, usaha anak ketiga daripada empat beradik itu wajar dicontohi.
Beliau berkata, meskipun terbatas pergerakan, gadis itu mahu berbakti dengan memanfaatkan kemahiran menjahitnya.
“Kami sokong usahanya dan membantu mengedarkan penutup hidung dan mulut,” katanya.
Sementara itu, memetik laporan Potretnews, Pegawai Perhubungan Polis Indragiri Hulu Misran memberitahu, Nuri mengalami kecacatan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya awal Januari lalu.
“Akibat kemalangan itu, kaki kanannya dipotong dan kos perubatan dan rawatan dibiayai Polis Indragiri Hulu kerana orang tuanya tidak mampu.
“Malah, akibat kemiskinan hidup, gadis itu tidak dapat menyambung pengajiannya.” katanya.