Gitar Kurt Cobain dilelong AS$6 juta
LOS ANGELES: Gitar milik ikon grunge, Kurt Cobain yang digunakan ketika persembahan MTV Unplugged pada 1993 dijual dalam satu lelongan pada harga AS$6 juta (RM25.6 juta).
Gitar akustik jenis 1959 Martin D-18E digunakan dalam persembahan yang diadakan di New York, kira-kira lima bulan sebelum dia membunuh diri pada usia 27 tahun.
Julien’s Auctions berkata, gitar berkenaan berjaya dibida oleh Peter Freedman, pengasas RODE Microphones.
Pada harga AS$6.01 juta (RM25.7 juta) selepas yuran dan komisen, instrumen itu adalah gitar termahal pernah dijual dalam acara lelongan.
Jangkaan awal gitar itu dilelong pada harga AS$1 juta (RM4.27 juta).
Freedman berkata, dia bercadang untuk membawa gitar itu dalam siri jelajah dunia, dengan hasil kutipan disalurkan untuk manfaat seni persembahan.
“Selepas saya mendengar gitar ikonik itu akan dilelong, saya tahu ia adalah peluang sekali seumur hidup untuk memilikinya dan menggunakannya sebagai alat untuk menunjukkan kepayahan mereka yang terbabit dalam seni persembahan,” katanya.
Gitar berkenaan dijual dengan selongsongnya yang dihias oleh Cobain dengan risalah album kumpulan punk rock Poison Idea pada 1990 iaitu “Feel the Darkness.”
Setakat kini, gitar termahal pernah dijual dalam sejarah adalah jenis Fender Stratocaster, atau digelar “Black Strat,” digunakan oleh gitaris Pink Floyd, David Gilmour.
Ia dijual oleh pemuzik berkenaan pada harga hampir AS$4 juta (RM17.07 juta) dalam satu jualan amal pada Jun tahun lalu.
Persembahan akustik Nirvana dalam siri MTV Unplugged pada 18 November 1993 itu dianggap sebagai antara album persembahan langsung terhebat dalam sejarah.
Ia meliputi lagu hits Nirvana “About A Girl” dan “Come As You Are” serta nyanyian semula lagu David Bowie iaitu “The Man Who Sold the World.”
Pada Oktober tahun lalu, kardigan milik Cobain dengan tandatangan yang ditulis menggunakan rokok serta dipakai ketika persembahan unplugged dijual pada harga AS$334,000 (RM1.43 juta).