Kanak-kanak di pusat jagaan Jepun positif Covid-19
Tokyo: Lapan bayi dan kanak-kanak di pusat jagaan di sini disahkan positif Covid-19 selepas seorang kakitangan dijangkiti virus berkenaan.
Tokyo Saiseikai Central Hospital yang mengendalikan pusat jagaan itu mengatakan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 sudah dimasukkan ke hospital dan 21 lagi disahkan negatif namun, masih dalam pemantauan.
Pusat jagaan itu menempatkan bayi dan kanak-kanak yang kematian ibu bapa atau diabaikan dan didera.
Hospital berkenaan dalam kenyataan berkata, kakitangan itu disahkan positif Covid-19 pada 16 April lalu yang menyebabkan ujian dilakukan ke atas semua kanak-kanak dan kakitangan bertugas di sana.
Ujian turut dijalankan ke atas 46 kakitangan yang kini menjalani kuarantin di rumah.
Media tempatan melaporkan, kanak-kanak yang disahkan positif itu tidak menunjukkan sebarang gejala.
Sehingga kini, Jepun berjaya mengekang penularan Covid-19 secara besar-besaran namun, terdapat kes jangkitan di hospital dilaporkan di beberapa pusat perubatan.