Letupan Lubnan: 19 ditahan
Beirut: Pihak berkuasa di Lubnan menahan 19 suspek pada Jumaat susulan insiden letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan ibu negara yang menyebabkan sekurang-kurangnya 154 orang mati dan hampir 5,000 cedera.
Agensi Anadolu yang memetik sebuah media tempatan melaporkan bahawa Pengurus Besar Pelabuhan Beirut, Hassan Koraytem; Pengurus Besar Kastam Lubnan Bedri Zahir dan bekas Pengurus Besar Kastam Shefik Mari adalah antara mereka yang ditahan.
Badan Berita Nasional Lebanon sebelum ini melaporkan bahawa 16 pekerja sebelum ini sudah ditahan bagi menyiasat berhubung insiden itu.
Kebakaran di gudang terletak di pelabuhan itu menyebabkan letupan besar dan masih ramai yang hilang di bawah runtuhan.
Pihak berkuasa Lubnan mengumumkan hasil siasatan, letupan pada Selasa itu berpunca daripada nyalaan api yang membakar 2,750 tan gas ammonium nitrat yang disimpan dalam gudang di pelabuhan berkenaan.