Maut dipukul bapa sendiri
Texas: Hanya kerana mengotorkan lantai bilik air ketika dilatih membuang air, seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun di Amerika Syarikat (AS) maut dipukul bapanya sendiri.
Memetik portal Mirror.co, berdasarkan pertuduhan kes, Antonio Hicks Sr, 21, melatih kanak-kanak itu untuk buang air di tandas sebelum hilang sabar dengan memukulnya.
Hicks Sr berdepan tuduhan serius kerana memukul anaknya, Antonio Hicks Jr dengan kuat hingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Ibu kanak-kanak itu menghantar anaknya ke hospital selepas menemui anaknya tiada tindak balas selepas melakukan bantuan pernafasan.
Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu.
Lelaki itu berada di penjara dengan bon jaminan $250,000 (kira-kira RM1juta).
Jurucakap pejabat peguam daerah berkata, lelaki itu berdepan pertambahan pertuduhan bergantung kepada hasil keputusan bedah siasat.
Bapa saudara kanak-kanak itu, Kali Brown berkata, setiap kanak-kanak berpeluang untuk melalui kehidupan mereka.
“Kita memerlukan orang apabila kita kecil, jadi setiap kanak-kanak harus diberikan peluang untuk merasai kehidupan ini,” katanya kepada ABC13.
Majlis memperingati kanak-kanak itu dilakukan pada Ahad dengan meletakkan belon serta karektor kartun kegemarannya ‘Paw Patrol’ menghiasi majlis itu.
Agensi melaporkan kanak-kanak itu mempunyai kecederaan baharu dan ada yang sudah sembuh, bagaimanapun ia tidak konsisten dengan apa Hicks Sr dakwa berlaku.
Hicks mendakwa dia dan anaknya diserang oleh individu tidak dikenali ketika berjalan.
Bagaimanapun, Hicks dilaporkan mengakui ada memukul anaknya di bahagian dada,
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu yang berada di rumah ketika kejadian mendakwa ada mendengar bunyi tamparan dan tumbukan beberapa kali dari bilik.