Mayat berhari-hari dalam rumah
MAYAT bergelimpangan di Guayaquil, Ecuador, antara lokasi paling terjejas teruk akibat Covid-19 di negara itu.
Ia menyebabkan sistem kesihatannya hampir lumpuh apabila pihak berkuasa mengehadkan perkhidmatan kesihatan bagi mengekang penularan wabak itu.
Peningkatan jumlah pesakit juga tidak lagi dapat ditampung oleh perkhidmatan kecemasan, hospital dan rumah mayat.
Situasi itu menyebabkan ada mayat yang dibiarkan berhari-hari di dalam rumah sebelum polis membantu mengebumikan mangsa.
Mengikut data rasmi, pandemik maut itu sudah meragut 421 nyawa dan menjangkiti 8,450 orang di Ecuador, namun jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi.
Dalam pada itu, Bangkok Post melaporkan seorang lelaki buntu selepas usaha mencari bapanya yang meninggal dunia masih belum berhasil.
Darwin Castill, 31, sudah berusaha mencari bapanya Manuel, 76, sejak dua minggu lalu.
Dia sudah mencari bapanya di rumah mayat, namun gagal tanpa mendapat sebarang petunjuk.
“Saya tidak menyalahkan hospital kerana mayat yang banyak sehingga di kawasan pintu masuk. Apa yang saya mahukan adalah untuk mengebumikan bapa,” katanya.