Menang kes kerja membosankan

PARIS: Seorang bekas pengurus syarikat minyak wangi Perancis menerima pampasan AS$45,000 (RM191,835) selepas menang kes saman ke atas bekas majikan yang didakwa memberi pekerjaan membosankan hingga dia tertekan dan berhenti kerja.

Frederic Desnard, 48, memegang jawatan itu hingga 2015 dan menuntut keadilan selama empat tahun berhubung gangguan dialaminya.

Kisahnya disiarkan Oddity Central dan pernah menjadi sebutan media antarabangsa kerana tindakan menyaman syarikat itu AS$400,000 (RM1.7 juta).

Desnard mendakwa syarikat berkenaan mengarahkannya melakukan kerja membosankan hingga dia menderita epilepsi dan kemurungan.

Selain itu dia mendakwa syarikat memberinya pelepasan bekerja selama beberapa bulan dan menggunakan alasan itu untuk memberhentikannya pada 2014.

Minggu lalu selepas empat tahun proses pengadilan, dia akhirnya menang kes berkenaan.

Mahkamah Rayuan Paris memutuskan Desnard menderita bore out yang secara teknikalnya bertentangan dengan burnout apabila pekerja terlebih bekerja dan mengarahkan syarikat membayar 10 peratus daripada tuntutan Desnard.

Walaupun bore out bukanlah terma diiktiraf undang-undang Perancis ketika kes itu difailkan pada 2014, tetapi Mahkamah Rayuan Paris kini memutuskan bahawa bore out sememangnya bentuk gangguan moral.