Mungkin kemalangan, mungkin serangan… – Trump

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump seakan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mendakwa bahawa insiden letupan di Beirut, Lubnan, sebagai serangan.

AFP melaporkan beliau kini menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, punca sebenar kejadian masih belum diketahui.

Sebelum ini, Trump dalam satu kenyataan mendakwa insiden berkenaan sebagai ‘serangan yang mengerikan’.

Beliau juga mendakwa ia berkemungkinan adalah serangan bom.

Beliau berpandangan sedemikian selepas mendakwa ‘mendapat maklumat daripada ‘jeneral’ AS.

“Ia seperti serangan yang mengerikan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh pelbagai agensi berita.

Bagaimanapun, pada Rabu, Trump dilaporkan berkata, punca sebenar kejadian masih belum diketahui.

“Saya tidak boleh beritahu apa yang sebenarnya terjadi. Ia adalah (kejadian) amat teruk.

“Tetapi mereka (Lubnan) masih tidak tahu apa yang sebenarnya yang terjadi. Belum ada sesiapa yang tahu.

“Macam mana anda kata ia adalah kemalangan? Ada orang… mungkin meninggalkan alat bahan letupan. Mungkin itu sebenarnya. Mungkin ia adalah serangan. Saya fikir tiada sesiapa yang boleh menerangkannya pada masa ini.

“Saya dengar kedua-duanya (kemalangan atau serangan),” katanya.

Kenyataan rasmi Lubnan sebelum ini mendakwa letupan berpunca daripada ammonium nitrat berjumlah 2,750 tan yang disimpan di gudang di pelabuhan.

Bahan berkenaan digunakan secara meluas sebagai baja pertanian dan bahan letupan dalam industri pembinaan dan perlombongan.

Bagaimanapun, ia juga menjadi punca kepada beberapa kejadian letupan sama ada disengajakan atau tidak di beberapa negara.

Malah, ia turut digunakan kumpulan militan dan serangan pengganas di Oklahoma City, Amerika Syarikat pada 1995.

Berita berkaitan:

  • Bantuan antarabangsa tiba di Lubnan
  • Letupan Lubnan. Angka korban meningkat 113 orang
  • Ammonium nitrat punca letupan Lubnan
  • Lubnan akan cari dalang letupan
  • Letupan Lubnan: Pemimpin dunia rakam takziah
  • Letupan Lubnan, ‘serangan mengerikan’ – Trump