Nyaris maut tergantung di kabel elektrik

SEORANG budak perempuan nyaris maut selepas dia tergantung pada kabel elektrik pada ketinggian 15 meter, di mukim Curug, Tangerang, Khamis lalu.

Kompas.com melaporkan, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu pada mulanya dikatakan bermain di tapak projek pemasangan kabel elektrik di kawasan berkenaan.

Namun, pekerja pemasangan tidak menyedari kehadiran kanak-kanak itu, sebelum menarik kabel itu untuk dipasang pada tiang.

Video kanak-kanak itu bergayut pada kabel elektrik berkenaan sambil menjerit meminta pertolongan, tular di media sosial.

Ketua Logistik dan Kecemasan, Kosrudin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kanak-kanak itu tidak menyedari kabel elektrik berkenaan dalam proses pemasangan.

“Dia bermain bersama rakannya di kawasan kabel elektrik tanpa menyedari proses pemasangan sedang dilakukan,” katanya.

Tanpa sedar, kanak-kanak berkenaan terus bergayut pada kabel berkenaan tanpa disedari pekerja yang mahu memasang kabel itu pada tiang.

“Tolong, saya tidak dapat bertahan lagi. Saya rasa seperti mahu jatuh,” jerit kanak-kanak terbabit dalam video berdurasi satu minit itu.

Penduduk berhampiran yang menyedari kejadian itu kemudian membantu meletakkan tilam untuk mengelak kecederaan sekiranya kanak-kanak itu terjatuh.

Kosrudin berkata, kanak-kanak terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke hospital tempatan.