Panda simbolik penjarakan sosial
Bangkok: Sebuah restoran di Thailand menggunakan kreativiti mereka dengan meletakkan patung beruang panda sebagai tanda penjarakan sosial.
Bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19, mengamalkan penjarakan sosial adalah cara penyelesaian terbaik ketika ini berikutan vaksin untuk wabak itu masih belum ditemui.
Portal IndiaTimes melaporkan, Restoran Maison Saigon di Bangkok, Thailand itu memulakan operasi perniagaan mereka dalam keadaan normal baharu dengan meletakkan patung beruang panda sebagai simbolik penjarakan sosial di meja makan.
Orang ramai yang menikmati makan mereka ditemani patung itu juga tidak kesunyian malah turut diletakkan penghadang plastik di tengah meja sebagai pencegahan penularan wabak itu.
Salah seorang pelanggan mengatakan dia gembira sebaik perintah berkurung dilonggarkan dan boleh menikmati makan di restoran.
“Walaupun terpaksa mengamalkan beberapa perkara baharu dalam kehidupan ketika ini, adalah penting untuk semua orang memberi kerjasama untuk memutuskan rantaian virus ini.
“Jika tidak mahu, duduk saja di rumah masing-masing,” katanya.
Peraturan baharu itu dikuatkuasakan kerajaan Thailand untuk semua restoran yang mahu beroperasi dengan mengamalkan penjarakan sosial, meletakkan penghadang plastik di tengah meja dan hanya beberapa pelanggan saja dibenarkan berada dalam premis.