Pembinaan Terminal 5 Changi ditangguhkan

Singapura: Projek pembinaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi akan diberhentikan seketika sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun disebabkan ketidaktentuan dalam sektor penerbangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Berita Harian Singapura melaporkan, Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan berkata, kerajaan sedang menjalankan kajian bagaimana sektor penerbangan akan berubah selepas ini dan turut mengambil kira aspek reka bentuk T5 yang mungkin diubah selaras dengan keperluan keselamatan baharu.

T5 sebelum ini dijadualkan siap dibina sekitar 2030.

Terminal lapangan terbang kelima itu dijangka mengendalikan sehingga 50 juta penumpang setahun.

Lapangan Terbang Changi adalah antara yang tersibuk di dunia pada tahun lalu, dengan pengendalian 68 juta penumpang.