Rhoma Irama berdepan tindakan undang-undang

PENYANYI dangdut lagenda Indonesia, Rhoma Irama, 74, berdepan tindakan undang-undang kerana muncul membuat persembahan dalam satu acara hiburan di Bogor, 28 Jun lalu.

Walaupun sudah seminggu berlalu, ia masih hangat diperkatakan masyarakat dan dikecam hebat.

Rhoma dalam kenyataannya memaklumkan kehadiran dia membuat persembahan pada acara hiburan itu diiringi pihak polis.

“Saya jadi aneh. Kenapa hanya saya seorang yang menjadi sasaran? Ini kerana saya diiringi polis pada acara itu. Jika acara berkenaan dilarang, sewajarnya ia dibatalkan,” katanya.

Rhoma mengharapkan semua masalah itu dapat diselesaikan segera oleh pihak yang berkaitan.

Katanya, jika dia dikenakan tindakan undang-undang, seharusnya pihak penganjur juga perlu diheret sama untuk keadilan.

Apa yang pasti, Indonesia kini mencatat jumlah jangkitan Covid-19 yang tertinggi setiap hari dan tindakan Rhoma membuat persembahan dalam acara hiburan itu dianggap tidak wajar.

Ditambah lagi, Indonesia kini masih dalam perlaksanaan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) sebagai langkah memutuskan rantaian Covid-19 di negara itu.

Malah, segala aktiviti membabitkan orang ramai berkumpul dilarang penganjurannya oleh kerajaan.

Kira-kira 500 pengunjung acara berkenaan juga perlu menjalani pemeriksaan Covid-19.