Robot hantar pesanan

Washington: Penggunaan robot dan dron sebagai penghantar makanan dan barangan keperluan semakin popular di kebanyakan negara.

Inovasi ini lebih mendapat tempat di hati pengguna berikutan mereka hanya duduk di rumah tanpa terdedah risiko jangkitan Covid-19 antara pembeli dan pekerja penghantaran.

Syarikat Starship Technologies, antara firma di Amerika Syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu berkata, pihaknya mendapat permintaan tinggi di kebanyakan bandar di seluruh dunia.

Ketika ini, syarikat berpangkalan di San Francisco itu melancarkan khidmat penghantaran robot di sekitar Washington, Tempe di Arizona, Britain dan California.

Pemilik kedai, Tracy Stannard berkata, mereka menggunakan 10 khidmat robot untuk membantu memenuhi permintaan pengguna.

Katanya, kedai itu menggunakan khidmat penghantaran robot sehingga 70 peratus sehari.

“Segelintir pelanggan meminta khidmat robot, mereka tak kisah (walaupun hanya) barangan keperluan asas,” katanya.

Sementara itu, jurucakap sebuah syarikat mengakui, khidmat dron meraih permintaan tinggi terutama di kawasan pedalaman di barat daya Virginia, Australia dan Finland.

“Kami harap inisiatif ini membantu pengusaha memenuhi keperluan pelanggan mengurangkan kontak antara manusia bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, lebih 40 pekerja pasar raya dan kedai runcit di seluruh Amerika Syarikat maut akibat virus berkenaan.

Ia sekali gus membangkitkan tunjuk perasaan pekerja penghantaran yang menuntut keselamatan ketika bertugas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19