Sektor perniagaan kembali beroperasi di England

London: Susulan penarikan semula perintah berkurung akibat pandemik Covid-19, pelbagai tarikan luar dan kedai di England akan dibuka semula bermula hari ini.

Ribuan premis perniagaan seperti kedai buku dan barangan elektronik berharap dikunjungi pelanggan sebaik beroperasi, selepas terpaksa berhenti buat seketika sejak Mac lalu.

Selain itu, tempat bersantai seperti taman safari, bahagian luar zoo dan panggung wayang pandu lalu kembali dibuka. Malah, rumah ibadat turut dibenarkan beroperasi.

Semua premis berkenaan bagaimanapun perlu mematuhi peraturan penjarakan sosial, yang memerlukan orang ramai berada dalam jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu sama lain, selain dinasihatkan memakai pelitup muka ketika berada di dalam bangunan.

Menteri Kewangan, Rishi Sunak berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dan menegaskan keadaan kini sudah selamat untuk keluar dari rumah.

“Saya tahu orang ramai bimbang. Ia pengalaman yang sedikit berbeza, namun selamat dan kita perlu keluar serta tahu bahawa kita mampu membeli belah dengan yakin,” kata.

Dalam perkembangan sama, pemakaian pelitup muka diwajibkan kepada smua yang menggunakan pengangkutan awam dan operator dibenarkan untuk menyekat pengguna yang gagal mengikuti arahan.

Untuk rekod, kedai di sektor perkhidmatan tidak penting di Ireland Utara kembali dibuka pada Jumaat, namun Scotland dan Wales masih belum memutuskan untuk berbuat demikian.

Sektor perkhidmatan tidak penting menggaji 1.3 juta pekerja dan menyumbang 46.6 bilion pound (RM249 bilion) kepada pendapatan tahunan Britain.