Singapura akan buka masjid untuk solat fardu

Singapura: Bermula 8 Jun, 46 masjid di republik ini akan melanjutkan waktu operasi bagi membolehkan orang awam menunaikan solat fardu.

Melangkah ke Fasa 1B pasca tempoh ‘pemutus litar’, masjid-masjid ini akan dibuka dari jam 5.30 hingga 7 pagi dan 1 petang hingga 9 malam.

Berita Harian Singapura melaporkan, setakat ini, 65 daripada 71 masjid setempat dibuka dari jam 1 hingga 6 petang untuk menyediakan ruang solat bagi pekerja khidmat penting.

Pendekatan itu diambil Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selepas pembukaan semula masjid setempat pada 2 Jun lalu disambut baik dan langkah berjaga-jaga ditetapkan dipatuhi masyarakat Melayu-Islam.

“Fasa 1A tempoh pemutus litar disambut baik oleh masyarakat, yang mematuhi langkah pengurusan selamat ditetapkan, membawa barangan solat masing-masing, memakai pelitup dan mengikut garis panduan pegawai di masjid,” kata Muis dalam kenyataannya.

Dalam Fasa 1B, masjid tidak dibenar mengadakan solat jemaah, termasuk solat Jumaat, selaras dengan garis panduan nasional bagi tempat ibadah.

Bilangan individu yang dibenarkan memasuk masjid, zon solat bagi individu atau keluarga dan langkah berjaga-jaga yang ditetapkan dalam Fasa 1A juga akan diteruskan, kata Muis.