Singapura bubar Parlimen
Singapura: Singapura akan mengadakan pilihan raya umum pada 10 Julai selepas Presidennya, Halimah Yacob membubarkan Parlimen, hari ini.
Hari penamaan calon akan dilakukan pada 30 Jun ini.
Presiden Halimah dinasihati Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang memutuskan untuk mengadakan pilihan raya sekarang, sementara situasi Covid-19 kekal stabil.
Dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen dan Facebook, Lee menjelaskan bahawa beliau menasihati Halimah untuk membubarkan Parlimen dan mengeluarkan Writ Pemilihan.
Berita Harian Singapura melaporkan, disebabkan pandemik Covid-19, calon dinasihati menggunakan perkhidmatan digital di laman web Jabatan Pilihan Raya (ELD) untuk menyiapkan Kertas Pencalonan.
Pegawai pilihan raya, Tan Meng Dui dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, di bawah undang-undang, hari pengundian pada setiap pilihan raya umum adalah cuti umum dan majikan mesti memberikan waktu secukupnya kepada pengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.