Sorok telur itik dalam coli
California: Seorang ibu tiga anak di Amerika Syarikat sanggup menyimpan sebiji telur itik di dalam coli selama 35 hari sehingga ia menetas.
Oddity Central melaporkan, Betsy Ross yang juga kontraktor dari Visalia di sini, menemui telur berkenaan ketika beriadah bersama keluarga di taman awam.
Anak wanita itu terlihat seseorang menghancurkan sarang haiwan itu dan hanya telur berkenaan terselamat walaupun ia mengalami keretakan kecil.
Demi menurut permintaan anaknya, Betsy membawa pulang telur itu dan mula menjaga serta membawanya ke mana saja.
Betsy cuba menghubungi organisasi penyelamat hidupan liar untuk mendapat bantuan namun gagal.
Akhirnya, wanita itu nekad menyimpannya di dalam coli kerana tiada inkubator untuk memberi kepanasan kepada telur berkenaan.
Menerusi temu bual dengan Bored Panda, Betsy berkata, dia bukan hanya menyimpan telur di dalam coli tetapi turut tidur bersamanya.
“Selama 35 hari, telur itu berada di dalam coli saya dan ia muat kerana badan saya besar,” katanya.
Difahamkan, Betsy membawa telur itu bersamanya
ke mana sahaja kecuali ketika mandi, sehingga ia menetas pada hari ke-35.
Anak itik itu dibela sehingga dewasa sebelum diserah kepada kenalannya di sebuah ladang untuk dipelihara.
-Agensi.
Kisah itu sama seperti wanita dari Malaysia, Erica Lim yang membawa pulang telur itik dari restoran sebelum ia menetas.
Ia diberi nama Daisy dan wanita itu memelihara haiwan itu sehingga itik itu dewasa.- Agensi.