Tandas angkasa
Washington: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) kini mencari pencipta bagi membangunkan tandas yang boleh berfungsi dalam keadaan mikrograviti.
Tandas itu perlu berfungsi pada kapal angkasa yang akan mendarat di bulan.
Ini bagi merealisasikan misi Artemis yang akan ke bulan pada 2024.
Juara akan menerima AS$20,000 (kira-kira RM85,000), manakala tempat kedua dan ketiga, masing-masing akan menerima AS$10,000 (kira-kira RM42,000) dan AS$5,000 (kira-kira RM21,000).
NASA juga menggalakkan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun untuk menyertai kategori ‘junior’ dan hadiah bakal dimenangi barangan bertemakan NASA di samping pengiktirafan awam.
“Cabaran ini diharap dapat menarik minat lebih ramai pencipta dan mampu menyelesaikan masalah sisa kumbahan manusia,” kata agensi itu pada Khamis.
Tandas berkenaan perlu berfungsi pada keadaan graviti bulan yang satu perenam dari daya graviti bumi.
Paling penting, tandas itu berkeupayaan untuk mengumpul air kencing dan najis secara serentak dengan kapasiti satu liter.
Spesifikasi tambahan pula, ia perlu menangani hingga 114 gram darah haid setiap anak kapal, setiap hari.
Selain itu, ia perlu mudah dibersihkan dan diselenggarakan dalam tempoh kurang lima minit.