Teori konspirasi sukarkan Australia bendung Covid-19

Melbourne: Lebih 10,000 orang tidak mahu menjalani ujian Covid-19 kerana percayakan propaganda teori konspirasi sekaligus menyukarkan usaha mengekang lonjakan kes di Melbourne.

Pihak berkuasa kesihatan Australia di selatan negeri Victoria merayu orang awam menjalani ujian Covid-19 dan mengabaikan maklumat propaganda dalam talian itu.

Dalam mengurangkan kesan pandemik dan melonggarkan sekatan perintah berkurung, Australia kini berdepan beberapa kluster sekitar bandar kedua terbesar yang merekodkan puluhan kes baharu setiap hari.

Menteri Kesihatan, Jenny Mikakos, menekankan kepentingan menjalani ujian itu berikutan virus itu sangat mudah berjangkit.

“Mengecewakan apabila terdapat lebih 10,000 orang tidak mahu membuat ujian.

“Laporan yang saya terima sesetengah orang percaya bahawa koronavirus adalah konspirasi atau ia tidak akan memberi impak kepada mereka.

“Ia boleh menjangkiti keluarga anda dengan begitu cepat,” katanya.

Katanya, ‘ujian berterusan’ sangat penting untuk mengesan, menjejaki dan memeriksa penyebaran jangkitan.

Minggu lalu, 160,000 ujian dilaksanakan ke kawasan itu dengan hampir 100,000 pintu kediaman diketuk.

Seorang ahli teori konspirasi Australia yang terkenal dengan 250,000 pengikut di Instagram mendakwa ‘alat ujian tercemar’ serta menafikan kewujudan wabak berkenaan.

Australia mencatatkan lebih 8,000 kes dengan lebih 100 kematian untuk populasi 25 juta penduduk.

Dalam tempoh dua minggu lalu, berlaku peningkatan sehingga 700 kes.