Trump terus dikritik hentikan dana kepada WHO
KEPUTUSAN Amerika Syarikat (AS) untuk ‘membekukan’ dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atas alasan ‘gagal menguruskan’ pandemik Covid-19 mencetuskan kemarahan beberapa pemimpin dunia.
Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan AS akan menyekat dana kepada pertubuhan berkenaan yang bernilai AS$400 juta tahun lalu.
Katanya, ia akan menilai semula sumbangan kepada WHO kerana menyifatkan pertubuhan berkenaan ‘gagal menguruskan dan menyembunyikan penularan wabak’ serta menuduh WHO meletakkan ‘kepentingan politik berbanding usaha menyelamatkan nyawa’.
Trump juga menyatakan bahawa wabak itu dapat dikekang dengan ‘sedikit kematian’ sekiranya WHO menilai dengan tepat situasi di China, di mana wabak itu bermula tahun lalu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, sekarang bukanlah masa untuk mengurangkan sumber bagi meneruskan operasi WHO atau mana-mana organisasi kemanusiaan yang membantu menentang virus ini.
“WHO perlu disokong kerana ia memainkan peranan penting dalam usaha kita memenangi peperangan terhadap Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Microsoft, Bill Gates berkata, menghentikan dana kepada WHO ketika krisis kesihatan yang serius ini adalah sangat berbahaya.
“Usaha mereka membantu memperlahankan penyebaran virus ini dan jika ia dihentikan tiada organisasi yang dapat mengganti tugas mereka,” katanya.
Gates melalui yayasannya adalah antara penyumbang utama kepada WHO.