1 maut, 800 individu dirawat keracunan makanan

Amman: Lebih 800 orang dirawat dan seorang kanak-kanak terbunuh akibat keracunan makanan di Jordan.

Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa mengalami keracunan makanan selepas makan kebab di sebuah restoran yang menawarkan potongan harga.

Media tempatan melaporkan, pemilik restoran itu yang menjual menu popular daging rotisserie dan snek roti di daerah Baqa’a utara bandar raya ditahan.

“Seorang kanak-kanak lelaki maut akibat keracunan makanan yang serius,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Saad Jaber mengesahkan 826 orang dimasukkan hospital kerana keracunan makanan sejak kes dikesan petang Isnin lalu.

“Setakat ini, 321 orang masih dirawat di hospital, semua dalam keadaan stabil manakala empat kes lagi di unit rawatan rapi (ICU).

“Semua mangsa mendakwa mengalami kesakitan selepas makan di restoran sama.

“Siasatan sedang dijalankan, mana-mana pesalah akan dipertanggungjawabkan, tanpa mengira siapa mereka,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, ratusan doktor dan jururawat tambahan dari pelbagai hospital ditempatkan untuk merawat mangsa yang terkesan.

Terdahulu kementerian berkata, makmal ujian menunjukkan terdapat bakteria pada daging dan ayam yang digunakan dalam kebab itu.

Pendakwa raya daerah berkata, tiga pekerja restoran termasuk pemiliknya ditahan.