10,000 ingkar perintah darurat

Bangkok: Kira-kira 10,000 orang menyertai demonstrasi pada Khamis di sini, bagi membantah langkah pihak berkuasa yang mengumumkan darurat dan menahan aktivis kumpulan prodemokrasi.

Perintah darurat itu antara lain mengharamkan perhimpunan lebih daripada empat orang itu juga bertujuan untuk mengelak tunjuk perasaan sejak beberapa bulan itu, berlarutan.

Al Jazeera melaporkan peserta perhimpunan mendesak Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha yang juga bekas jeneral tentera untuk meletak jawatan.

Mereka mendesak perubahan dalam sistem demokrasi termasuk amalan pihak berkuasa yang dianggap menakut-nakutkan pihak yang mengkritik kerajaan.

Selain itu, peserta yang sebahagian besarnya adalah golongan muda dan pelajar universiti itu menuntut amalan sistem monarki berperlembagaan yang sebenar di negara itu.

Ia menjadi satu kejutan kepada rakyat Thailand yang sebelum ini amat menghormati kedudukan raja dan tidak membuat apa-apa kritikan terbuka mengenainya.

Menurut laporan AFP, peserta demonstrasi melaungkan ‘keluar Prayut’ dan ‘bebaskan rakan kami!’ di persimpangan tersibuk di tengah Bangkok.

Selepas perintah darurat diisytiharkan pada awal Khams, polis anti-rusuhan menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang berkhemah di luar pejabat perdana menteri.

Selain itu, pemimpin pelajar turut menggunakan media sosial bagi menggesa orang ramai turun di jalan untuk menyatakan sokongan.