12 maut akibat letupan gas di masjid

Dhaka: Sekurang-kurangnya 12 terkorban manakala puluhan lagi cedera akibat letupan gas di sebuah masjid di Narayanganj, Bangladesh.

Letupan itu berlaku ketika umat Islam sedang menunaikan solat Isyak di masjid.

Punca percikan api mungkin bermula daripada penghawa dingin selepas bekalan elektrik terputus.

Ketua Bomba Narayanganj, Abdullah Al Arefin memberitahu AFP bahawa gas bocor memasuki masjid.

“Ketika mereka menutup tingkap dan pintu dan menghidupkan penghawa dingin, ada percikan elektrik yang menyebabkan letupan di dalam masjid.

“Semua mengalami luka melecur antara 70 hingga 80 peratus,” katanya.

12 yang meninggal adalah antara 37 yang dibawa ke Hospital Pakar Melecur di Dhaka dalam keadaan kritikal, kata jurucakap hospital, Samanta Lal Sen.

Polis mengatakan sekurang-kurangnya 45 orang cedera akibat letupan itu dan orang ramai ada memberitahu mereka terhidu bau gas.

Di Bangladesh, peraturan keselamatan sering gagal dipatuhi dalam pembinaan bangunan.

Ratusan terbunuh setiap tahun dalam kebakaran di negara yang mempunyai penduduk berjumlah 168 juta orang.

Sementara itu, Dhaka Tribune melaporkan bahawa imam masjid, Abdul Malek dan bilal iaitu Delwar Hossain antara yang mengalami kecederaan melecur yang teruk.

Abdullah Al Arefin dilaporkan berkara semua enam penghawa dingin yang terletak di tingkat bawah masjid meletup.

“Terdapat saluran gas Titas di bawah masjid. Kami juga syak gas bocor bermula di situ dan masuk ke dalam masjid yang bertutup.

“Letupan itu mungkin berpunca daripada percikan api apabila ada yang cuba membuka kipas atau penghawa dingin,” katanya.

Abu Talha yang tinggal di kawasan berdekatan berkata, ahli jawatankuasa masjid sebelum ini sudah membuat laporan berhubung kebocoran saluran gas itu.