12 pasar ditutup, 79 peniaga positif Covid-19

Jakarta: Sebanyak 12 pasar tradisional di sini, ditutup sementara selepas 79 peniaga disahkan positif Covid-19, kata Timbalan Gabenor DKI Jakarta, Ahmad Riza Patria.

Kes dikesan selepas ujian calitan secara besar-besaran dilakukan pasukan kesihatan.

Ahmad Riza berkata, ketika ini, 79 peniaga yang disahkan positif Covid-19 sudah menjalani kuarantin.

“Kita menutup 12 pasar itu buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan,” katanya.

Ahmad Riza berkata, ujian calitan besar-besaran dilakukan terhadap peniaga di 33 pasar di sini.

Katanya, daripada jumlah itu, peniaga di 12 pasar dikesan positif Covid-19; peniaga di tujuh pasar lain negatif, manakala peniaga di pasar lain sedang menunggu keputusan.

Katanya, penutupan itu diharap menjadi panduan supaya pemilik premis perniagaan lain mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.

“Semua peniaga, pasar dan pusat kegiatan masyarakat perlu patuh dan berdisiplin,” katanya.