13 tahun berpakaian ‘pink’ sahaja

Switzerland: Gila merah jambu. Itu obsesi seorang guru wanita yang tidak pernah memakai pakaian berwarna lain sejak 13 tahun lalu selain merah jambu.

Yasmin Charlotte, 32, berasal dari Switzerland digelar ‘Miss Pink’ oleh pelajarnya dan turut mencipta ‘syurga’ merah jambu di rumahnya.

Portal Oddity Central melaporkan, Yasmin obses dengan warna merah jambu ketika usianya menginjak dewasa dan 13 tahun lalu dia mula memakai warna merah jambu secara eksklusif.

Wanita itu juga ‘alah’ kepada warna lain, malah sudah memikirkan akan memakai gaun perkahwinannya dengan warna itu.

“Ketika kecil, saya berpakaian merah jambu seperti gadis kecil lain dan pada usia 12 tahun, ibu membelikan saya kardigan merah jambu dan seluar.

“Pada mulanya saya malu kerana terfikir merah jambu adalah untuk anak kecil saja dan bukan untuk remaja.

“Tetapi pada usia 16 tahun, saya mula memakai lebih banyak warna merah jambu dan mengembangkan koleksi saya,” kata Yasmin dalam temu bual dengan PA Real Life.

Yasmin juga membuang sepasang seluar jeans birunya yang juga satu-satunya pakaian bukan merah jambu dalam almari pakaiannya dan sejak itu setia pada warna kegemarannya itu.

Guru itu memiliki keseluruhan koleksi pakaian daripada pelbagai warna merah jambu serta lebih 100 pasang kasut berwarna merah jambu.

Malah dia bernasib baik apabila tidak menerima sebarang aduan di sekolahnya dan mengatakan tidak akan menerima pekerjaan yang tidak membenarkannya memakai warna merah jambu.

“Sebelum menjadi guru, saya menjadi seorang tukang jahit dan membuat beberapa pakaian saya sendiri, tetapi kebanyakan saya membeli dalam talian dan kedai.

“Saya tidak pernah memakai pakaian seragam untuk bekerja dan saya tidak akan memilih pekerjaan yang tidak boleh memakai warna merah jambu. Selama 13 tahun saya tidak pernah memakai baju berwarna lain selain merah jambu.

“Cuma, apabila terpaksa menghadiri pengebumian atau sesuatu acara penting lain saya akan meminjam pakaian rakan,” katanya.

Katanya, sejak berpindah ke rumah sewa tahun lalu, dia mengecat semua dinding berwarna merah jambu dan mengisinya dengan barang berwarna itu yang dikumpulkan selama bertahun-tahun.

“Bermula dengan dinding dan perabot sehingga permaidani dan lampu semua barang di rumah berwarna merah jambu dan setiap kali saya menjumpai sesuatu yang tidak berwarna merah jambu, saya akan mengecatnya dengan warna kegemaran saya terlebih dulu,” katanya.