1,300 positif Covid-19 di akademi tentera Indonesia

BANDUNG: Hampir 1,300 individu di akademi tentera di Indonesia disahkan positif Covid-19, kata seorang pegawai.

Maktab calon tentera Indonesia yang terletak di Jawa Barat itu kini diletakkan dalam kuarantin di mana pada awalnya 30 individu dimasukkan ke hospital selepas menunjukkan gejala ringan, kata Ketua Pegawai Tentera, Jeneral Andika Perkasa.

Daripada 1,280 kes jangkitan itu, 991 adalah dari kalangan kadet dan selebihnya kakitangan serta ahli keluarga mereka.

Sebahagian besar daripada mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Seramai 17 individu masih berada di hospital.

Wabak berkenaan dikesan selepas dua kadet mendapatkan rawatan kerana mengalami demam dan sakit belakang.

Kedua-duanya disahkan positif virus berkenaan menyebabkan ujian swab dijalankan secara besar-besaran di akademi itu yang menempatkan 2,000 kakitangan dan kadet.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana kadet berkenaan mendapat jangkitan itu, namun ada antara mereka yang tinggal di luar kompleks tentera.

Gabenor Jawa Barat memohon maaf atas apa yang berlaku dan menggesa penduduk setempat mengehadkan pergerakan mereka sehingga keadaan terkawal.

Indonesia adalah negara paling teruk terjejas di Asia Tenggara dengan lebih 74,000 kes jangkitan serta 3,500 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19