17 maut, pesawat tergelincir belah dua

New Delhi: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh selepas sebuah pesawat yang membawa 191 penumpang dan kru termasuk rakyat India terkandas di Dubai akibat Covid-19, tergelincir di landasan ketika mendarat di lapangan terbang Kozhikode, Kerala di India.

Lebih 100 cedera manakala 15 daripadanya parah selepas pesawat Air India Express Boeing 737 dari Dubai melakukan penerbangan evakuasi Covid-19 tergelincir dari landasan ketika hujan lebat di Kozhikode.

Pegawai mengatakan 191 penumpang dan kru berada di dalam pesawat yang jatuh 10 meter daripada tebing landasan itu.

Menurut senarai mangsa yang dilihat AFP, penumpang yang maut termasuk bayi berusia 10 bulan dan 18 bulan.

Salah seorang daripada dua juruterbang yang mati dalam nahas itu, Deepak Sathe, adalah bekas juruterbang jet pejuang Tentera Udara, kata laporan.

Menurut jurucakap Kementerian Penerbangan Awam, Rajiv Jain, enjin pesawat pecah kepada dua bahagian dan di temui dalam kawasan lembah sedalam 10 meter tetapi tiada kebakaran dilaporkan dalam pesawat.

Media India memetik data dari laman web penerbangan menunjukkan pesawat itu berusaha mendarat dua kali dan mangsa yang terselamat memberitahu televisyen tempatan pesawat itu naik dan turun berulang kali sebelum mendarat.

Petugas penyelamat dan penduduk tempatan bergegas ke tempat kejadian dan berusaha untuk menyelamatkan mangsa dalam bangkai pesawat ketika hujan lebat dan gelap.