1,918,855 dijangkiti

KES jangkitan Covid-19 seluruh dunia menghampiri angka dua juta pada Isnin.

CNBC melaporkan, jumlah itu peningkatan dua kali ganda dalam tempoh 11 hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan arahan penjarakan sosial.

Data terkini dikumpulkan Johns Hopkins University (JHU) di Amerika Syarikat (AS) merekodkan, jumlah kes jangkitan seluruh dunia adalah 1,918,855 mangsa dengan 119,588 kematian.

Ia dua kali ganda berbanding direkodkan pada 2 April lalu iaitu sejuta kes dan 50,000 kematian.

Apabila wabak itu direkodkan bermula di Wuhan, China, Disember lalu, dunia belum mengetahui mengenai virus ini.

Sejak itu, ia merebak pantas hampir di setiap negara dan menjejaskan rutin harian jutaan penduduk dunia.

Kini, hampir separuh daripada populasi penduduk dunia menjalani perintah berkurung bagi melawan wabak itu.

Daripada jumlah itu, 1.3 bilion adalah penduduk India.

Meskipun jumlah kes memuncak di beberapa negara termasuk AS, WHO memberi amaran penarikan semula perintah berkurung boleh memberi kesan negatif.

“Panduan kawalan perintah berkurung mesti ditarik secara berperingkat dan terkawal. Ia tidak boleh berlaku sekali gus,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesu, semalam.

Berdasarkan data JHU, setakat ini, AS merekodkan jumlah jangkitan kes tertinggi iaitu 581,679 yang mewakili lebih 25 peratus kes jangkitan seluruh dunia.

Di New York, virus itu menjangkiti lebih 195,749 mangsa.