2 kali noda anak tiri demi zuriat

BUCHAREST: Hanya kerana tiada zuriat bersama isteri, seorang lelaki di Romania tergamak merogol anak tirinya hingga mangsa melahirkan dua bayi.

Daily Star memetik laporan media tempatan melaporkan Augustin Costel Varga yang ditahan tahun lalu, kini dipenjara dua tahun atas kesalahan itu.

Lelaki yang menetap di Almasu Mare itu dilaporkan mengimpikan anak, namun pasangannya mengalami masalah kesuburan.

Ia menyebabkan Varga merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 12 tahun pada 2014.

Mangsa dilaporkan melahirkan bayi lelaki tahun berikutnya.

Pihak hospital membuat laporan polis hingga Varga serta pasangannya hilang hak jagaan terhadap gadis berkenaan.

Berikutan kesalahan itu, Varga diletakkan di bawah pengawasan selama dua tahun namun dilaporkan mengulangi perbuatannya.

Pada tahun berikutnya, remaja perempuan itu ditemui di Cluj-Napoca dengan bayi lain dan dia mengakui Varga adalah bapa bayi berkenaan.

Buat masa ini, remaja perempuan dan dua anaknya ditempatkan di pusat perlindungan.