2 pendaki maut helikopter bomba terhempas

Seoul: Helikopter bomba yang dinaiki tujuh penumpang terhempas di gunung Jiri, di wilayah selatan Korea Selatan dan menyebabkan dua maut.

Agensi berita Yonhap melaporkan helikopter itu dalam misi menyelamat dua pendaki, terhempas di puncak Cheonwangbong di daerah Sancheong, wilayah Gyeongsang Selatan, kira-kira 12.07 tengah malam.

Menurut Jabatan Bomba, helikopter itu membawa tujuh penumpang iaitu lima kru dan dua pendaki iaitu lelaki berusia 65 tahun yang mengalami masalah jantung dan isterinya.

Pasangan itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Lima pekerja penyelamat tidak mengalami kecederaan serius kerana ketika terhempas helikopter itu sedang terbang rendah.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas.