20,000 jemaah tabligh dikuarantin di Pakistan

LAHORE: Kira-kira 20,000 jemaah tabligh dikuarantin di Pakistan dan lebih 10,000 lagi jemaah dicari selepas menyertai perhimpunan Tablighi Jamaat di sini, lapor pihak berkuasa negara itu, semalam.

Jemaah tabligh itu berhimpun antara 10 hingga 12 Mac lalu dan dibimbangi menyebarkan wabak koronavirus baharu (Covid-19) di seluruh Pakistan dan negara lain.

Lebih daripada 100,000 jemaah tabligh menghadiri perhimpunan berkenaan, kata penganjur, tanpa mengendahkan arahan kerajaan negara itu untuk membatalkannya berikutan penularan Covid-19.

Di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, seramai 5,300 jemaah tabligh dikuarantin selepas menghadiri perhimpunan itu.

“Pegawai kesihatan menjalankan ujian Covid-19 dan ada antaranya diuji positif,” kata Ajmal Wazir, jurucakap rantau itu, kepada AFP, semalam.

Wazir berkata, ketika ini, beribu-ribu jemaah tabligh di negara itu terkandas di kawasan lain kerana penutupan lebuh raya utama di seluruh Pakistan.

Dalam pada itu, kira-kira 7,000 jemaah tabligh dikuarantin di pusat bandar Punjab di Lahore, manakala 8,000 lagi dikuarantin di selatan wilayah Sindh, selain ada yang terpaksa mengasingkan diri di wilayah barat daya Balochistan.

Masjid, termasuk yang menjadi tumpuan kumpulan dakwah itu ditutup dan dijadikan pusat kuarantin sejak akhir Mac.

Sekurang-kurangnya 154 jemaah yang pergi ke perhimpunan itu diuji positif Covid-19 dengan dua kematian direkodkan, kata pihak berkuasa kepada AFP.

Penularan Covid-19 membunuh sekurang-kurangnya 45 orang di Pakistan tetapi dengan hanya ujian terhad, pemerhati bimbang jumlahnya jauh lebih tinggi.

Perhimpunan Tablighi Jamaat yang dilangsungkan di sini itu turut dihadiri jemaah tabligh dari China, Indonesia, Nigeria dan Afghanistan, kata penganjur.

Kira-kira 1,500 warga asing kini dikuarantin di Pakistan, manakala jemaah lain meninggalkan negara itu tanpa diuji.

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan, dua jangkitan Covid-19 yang pertama di Palestin selepas menghadiri perhimpunan itu.

Menteri Sains Pakistan, Fawad Chaudhry sebelum ini terkilan dengan penganjuran perhimpunan itu dan menyalahkan kedegilan jemaah yang mahu meneruskannya.

Pihak penganjur berkata, mereka mematuhi arahan pihak berkuasa untuk menghentikan perhimpunan itu, namun tidak dapat dielakkan disebabkan cuaca hujan ketika itu.

Perhimpunan yang sama juga diadakan di Malaysia dan India ketika pandemik Covid-19 semakin serius dan ada dalam kalangan jemaah tabligh itu turut menyebarkan virus berkenaan ke negara lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19