260 maut akibat banjir di tiga negara

Nairobi: Hujan lebat menyebabkan tiga negara di Afrika Timur dilanda banjir yang meragut lebih 260 nyawa.

Lapor BBC News, Kenya yang menjadi negara paling terjejas merekodkan 194 angka kematian.

Di Rwanda pula, seramai 55 mangsa maut dan banjir turut meragut 16 nyawa di Somalia.

Di Uganda pula, paras air tinggi mengakibatkan sekurang-kurangnya 200 orang mangsa dimasukkan ke hospital.

Pihak berkuasa Kenya turut mengarahkan orang ramai berpindah daripada kawasan berpotensi bahaya berkenaan.

Menurut pemerintah, banjir turut memusnahkan 8,000 ekar tanaman dan beberapa infrastruktur penting.

Ahli meteorologi meramalkan hujan lebat berterusan sepanjang Mei ini berikutan musim tengkujuh biasanya berakhir Jun.

Kata datuk bandar, di Rwanda, orang ramai maut akibat tanah runtuh manakala rumah, jalan raya dan tanaman musnah dan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Di Barat Uganda, sebatang sungai pecah hingga mengakibatkan orang ramai menyelamatkan diri ke bandar Kasese.

Di hospital berdekatan Kilembe, pasukan penyelamat cuba mencari mangsa terperangkap dan memindahkan mereka ke gereja.

Beberapa minggu lalu, paras aiar di Tasik Victoria mencecah ketinggian yang tidak pernah direkodkan dan menyebabkan hakisan di sungai memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Tahun lalu, bencana berkenaan meragut 250 nyawa dan menjejaskan tiga juta orang di seluruh Afrika Timur.