3 beranak tidur dalam troli angkut sampah

Balikpapan: Kemiskinan hidup menyebabkan suami isteri di Kalimantan Timur, Indonesia dan bayi mereka berusia sebulan tidur di dalam troli pengangkut sampah.

Ia selepas Andika Pratama, 35, isterinya, Yanti, 32, dan bayi mereka diusir dari bilik sewa kerana tidak mampu melunaskan sewa.

Andika berkata, pemilik bilik terbabit meminta mereka menjelaskan sewa yang tertunggak, namun mereka tidak mampu.

“Setiap bulan saya perlu menyediakan wang 350,000 rupiah (RM99) untuk bilik sewa, namun pada bulan Ogos, wang yang ada habis membeli makanan kami tiga beranak.

“Pemilik rumah sewa tiba-tiba menggantikan mangga pintu dan meminta kami membayar dulu wang sewa jika mahu duduk situ.

“Akibat tidak mampu membayar wang diminta, kami tiada pilihan tinggal di troli yang biasa saya gunakan untuk mengangkut barangan kitar semula,” katanya seperti dipetik portal Kompas.com.

Difahamkan, mereka sudah hidup sebagai gelandangan selama dua bulan.

Menurut Andika, mereka menggunakan papan iklan bagi melindungi diri daripada hujan dan kesejukan ketika malam dan hujan.

“Selama hidup sebagai gelandangan, saya membawa keluarga mencari barangan kitar semula untuk membeli makanan.

“Saya bernasib baik kerana bayi masih menyusu badan tetapi agak kasihan anak kecil itu kerap kesejukan ketika hujan,” katanya.

Katanya, dia mahu mencari pekerjaan lain lebih sesuai bagi menyara keluarganya.

“Kalau ada kerja lain yang lebih sesuai termasuk pemandu pun saya mahu,” katanya selepas diselamatkan pasukan sukarelawan Kota Samarinda.

Sementara itu Koordinator Sukarelawan Sedekah Bebas Samarinda, Arisna Setiawati berkata, tiga beranak itu ditempatkan di rumah transit untuk golongan memerlukan.

“Kami akan berjumpa dengan pemilik rumah sewa berkenaan bagi membayar tunggakan sewa,” katanya.

Sebelum itu, keadaan daif tiga beranak itu tular selepas seorang penduduk merakam dan memuat naik gambar tiga beranak itu di media sosial.