3 maut, 52 cedera dalam letupan saluran paip gas asli di Thailand

Bangkok: Tiga terbunuh manakala 52 cedera selepas sebuah saluran paip gas asli meletup di Samut Prakan, tenggara Bangkok, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari (waktu tempatan), saluran paip asli itu yang dikendalikan oleh syarikat milik PTT Public Company Limited (PTT) mengalami kebocoran dan terbakar.

Menurut laporan Bangkok Post, susulan letupan itu, sekurang-kurangnya empat rumah rosak teruk dan enam rumah mengalami kerosakan bumbung.

Gabenor Wilayah Samut Prakan, Wanchai Kongkasem berkata, sekurang-kurangnya 30 keluarga terjejas akibat insiden itu dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti punca kejadian letupan itu.

“Mangsa mengalami kecederaan melecur dan dikejarkan ke hospital berdekatan dan pusat pemindahan dibuka untuk membantu mangsa,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian.

Beliau berkata, PTT menutup saluran paip itu dan kawasan itu kini selamat.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan pihak berkuasa segera melakukan pemeriksaan dan menyiasat punca kejadian serta menghulurkan bantuan kepada mangsa.